Friday 6 March 2015

Laporan Hari Keluarga dan Sambutan Tahun Baru Cina

1.                   PENDAHULUAN

Laporan ini bertujuan untuk membentangkan Program Sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Keluarga Persatuan Orang Pekak Kedah yang telah dilaksanakan oleh Unit Belia Pekak Kedah dengan kerjasama Jabatan Hospitaliti dan Pelancongan, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis Indera Kayangan serta perbelanjaan yang telah dibuat bagi menjayakan program berkenaan.

Program mega ini dihoskan oleh Unit Belia Pekak Kedah matlamat untuk mencapai objektif yang telah digariskan iaitu:-
                          i.                  Menjadikan warga Pekak memahami kepelbagaian budaya dan memupuk semangat perpaduan yang tinggi melalui aktiviti yang dijalankan;
                         ii.                  Membuktikan kewujudan semangat yang tinggi dalam kalangan ahli persatuan dan;
                        iii.                  Membina semangat cintakan negara melalui aktiviti yang dianjurkan.

2.                   PENYERTAAN

Penyertaan program ini dibuka penyertaannya kepada semua ahli Persatuan Orang Pekak Kedah dan Anak-anak kepada Ibu Bapa Pekak (CODA). Sambutan yang diterima terhadap penganjuran program ini adalah memuaskan dengan penyertaan seramai 100 ahli dan 50 pelajar khas termasuk pensyarah dari politeknik bertindak sebagai sukarelawan dan ianya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

3.                   PELAKSANAAN AKTIVITI

Program sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Keluarga Persatuan Orang Pekak Kedah telah diadakan pada 06hb Mac 2015 (Jumaat). Para peserta mula berkumpul di tanah lapang Halaman Rumah Tok Su bersebelahan tempat pakir kenderaan awam Wisma Darul Aman seawal 7.30 pagi. Sesi pendaftaran dibuka pada pukul 8.00 pagi diselia oleh ahli jawatankuasa pengelola program. Peserta dibekalkan sebotol air mineral dan sebungkus roti krim bagi setiap seorang untuk sarapan pagi. Syarikat Roti Suria telah memberikan sumbangan sebayak 150 buku roti untuk penganjuran majlis ini.




Rombongan pelajar khas PTSS tiba pada pukul 8.30 akibat masalah teknikal. Segala peralatan teknikal bagi penganjuran program dibawa oleh pelajar khas politeknik. Sejurus ketibaan mereka, sesi taklimat dan aturaca program bermula. Cik Nur Hidayah Bt Hassan, Pensyarah bertindak sebagai ko-odinator program dibantu oleh Puan Nor Haslynda Bt Amat Kamisan, pembantu pensyarah.



Bagi memulakan program, sukarelawan pelajar khas PTSS mengambil alih tugas mengendalikan Hari Keluarga Persatuan Orang Pekak Kedah. Acara di mulakan dengan senaman pagi bagi memanaskan badan. Kemudia peserta Pekak dewasa dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap peserta dipakaikan reben mengikut warna kumpulan. Ahli Coda yang berumur di bawa ke astaka untuk aktiviti mewarna.



Kumpulan dewasa Pekak mempunyai 10 acara manakala Coda 4 acara sahaja. Antara acara pertandingan sukaneka bagi dewasa Pekak ialah :-

i.                     Oh! Belon ku meletop.
ii.                   Kelapa bowling.
iii.                  Cari gula-gula dalam tepung.
iv.                 Lambong belon air.
v.                   Lari ping-pong bersudu.
vi.                 Isi air dalam botol.
vii.                Tembikai Warrior
viii.              Cucuk benang dalam jarum
ix.                 Gusti Lengan
x.                   Fesyen Surat Khabar
xi.                 Pertandingan tarik tali
xii.                Sapa tak sayang bini ooiii...

Manakala acara bagi Coda adalah seperti berikut :-

i.                     Pertandingan mewarna.
ii.                   Cari gula-gula dalam tepung.
iii.                  Lari ping-pong bersudu.
iv.                 Isi air dalam botol.

Sepanjang aktiviti dijalankan, kerjasama erat dari ahli kumpulan tidak mengira kaum mengembeling tenaga bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kumpulan mereka.












Selesai kesemua acara, jam menunjukkan hampir pukul 12.30 tengahari. Semua peserta bergerak ke astaka untuk Majlis perasmian Tahun Baru Cina dan Hari Keluarga Persatuan Orang Pekak, 2015 serta penyerahan hadiah kepada pemenang dan cabutan bertuah.

Pengerusi program, Cik Tan Chiau Wen memberikan ucapan ringkas sempena sambutan Tahun Baru Cina. Sumbangan angpow diberikan kepada Coda dan majlis di serikan lagi dengan cara menggaul Yee Sang oleh AJK KDA dan Pensyarah PTSS. Buah lokam diberikan kepada semua yang hadir.



Seterusnya, En. Mohamad Mohayadin Bin Mia Abdullah, Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Kedah telah memberikan ucapan. Antara ucapan beliau, mengucapkan syabas kepada Unit Belia Pekak Kedah yang berjaya menganjurkan majlis ini dan disokong kuat oleh pensyarah dan pelajar khas Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Kerjasama yang jitu dari kedua belah pihak memberikan kejayaan yang memberangsangkan. Diharap penganjuran program ini akan terus mendapat sokongan dari pihak PTSS.

Presiden KDA telah merasmikan program Tahun Baru Cina dan Hari Keluarga KDA 2015. Majlis penyampaian hadiah diteruskan dan diakhiri dengan mengambil gambar sebagai kenangan. Sebelum bergerak pulak setiap peserta dibekalkan dengan makanan tengahari nasi tomato, ayam masak merah dan acar timun serta air sirap. Makan tengahari dimasak oleh pelajar Diploma Hotel Katering, PTSS. Semua peserta pulang dengan wajah yang berseri-seri. In shaa Allah tahun hadapan kita akan bertemu lagi.











4.                   PENUTUP

Kesimpulannya, program sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Keluarga Persatuan Prang Pekak Kedah dapat memberi peluang kepada  ahli jawatankuasa merasakan pengalaman baru menguruskan dua program besar secara serentak dan peserta dapat dapat menjalinkan hubungan yang baik, berdisiplin dan berkerjasama tidak mengira kaum dan agama. Para peserta juga berjaya menjaga nama baik KDA dan sekaligus dapat  menaikkan nama KDA . Diharap agar program seumpama ini dapat dijalankan lagi pada tahun yang  akan datang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak  langsung dalam menjayakan program ini.